Tazkirah: Setiap Ujian Pasti Ada Hikmah

Ujian merupakan sebahagian daripada perjalanan hidup seorang insan. Ia hadir dalam pelbagai bentuk; ada ujian harta, kesihatan, keluarga, perasaan dan juga ujian keimanan. Walaupun ujian sering kali terasa berat dan menyakitkan, hakikatnya setiap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT tidak pernah sia-sia. Di sebalik setiap ujian, pasti tersimpan hikmah yang besar bagi mereka yang beriman dan bersabar. Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:” (Surah al-Baqarah: 155) Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ujian adalah sunnatullah. Ia bukan tanda kebencian Allah, sebaliknya satu bentuk tarbiah dan kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba yang Dia kehendaki kebaikan. Ujian dalam Al-Quran dan Hadis Allah SWT berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah al-Baqarah: 286) Setiap ujian yang diturunkan telah diukur dengan kemampuan hamba-Nya. Tiada satu ujian pun yang datang secara kebetulan, dan tiada satu pun yang melampaui batas kemampuan kita, walaupun pada pandangan diri ia terasa terlalu berat. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang, Dia akan mengujinya.”(Riwayat al-Bukhari) Hadis ini mengajar kita bahawa ujian sebenarnya adalah tanda perhatian dan kebaikan daripada Allah SWT, bukan azab atau hukuman semata-mata. Doa Ketika Menghadapi Masalah atau Musibah. Ihsan: JAWI Hikmah di Sebalik Setiap Ujian https://www.youtube.com/shorts/YFOJOQ1qwyw 1. Ujian Membersihkan Dosa Setiap kesusahan, kesakitan dan kesedihan yang dialami oleh seorang mukmin akan menggugurkan dosa-dosanya apabila dihadapi dengan sabar dan redha. Bahkan duri yang menusuk kaki juga tidak sia-sia di sisi Allah SWT. 2. Ujian Mengangkat Darjat Ada kalanya seseorang tidak mampu mencapai kedudukan tertentu di sisi Allah dengan amal semata-mata. Maka Allah mengurniakan ujian sebagai jalan untuk mengangkat darjatnya. Kesabaran yang ditunjukkan ketika diuji menjadi sebab kemuliaan di akhirat kelak. 3. Ujian Mendekatkan Diri Kepada Allah Ketika berada dalam kesenangan, manusia sering alpa dan lalai. Namun apabila diuji, hati menjadi lembut, doa menjadi lebih ikhlas dan pergantungan kepada Allah semakin kuat. Ujian menjadikan kita kembali sedar bahawa hanya Allah tempat bergantung yang sebenar. 4. Ujian Membentuk Jiwa Yang Kuat Ujian mendidik kita agar tidak mudah rebah. Dari ujian, lahir jiwa yang tabah, hati yang redha dan iman yang lebih matang. Apa yang dahulu kita rasakan mustahil, akhirnya mampu kita hadapi dengan pertolongan Allah SWT. Kisah Teladan Nabi Yusuf AS diuji dengan kecemburuan saudara-saudaranya sendiri sehingga baginda dibuang ke dalam perigi dan difitnah dengan cerita palsu. Namun, di sebalik kezaliman itu, Allah tetap melindungi hamba-Nya yang bersabar. Dari perigi yang gelap, bermulalah perjalanan Nabi Yusuf AS menuju kemuliaan dan takdir yang agung. Bagaimana Menghadapi Ujian Dengan Betul Bersabar dan RedhaSabar bukan bererti tiada rasa sedih, tetapi tetap taat walaupun hati terluka. Perbanyakkan Doa dan ZikirUjian adalah jemputan untuk lebih dekat kepada Allah. Husnuzon Kepada AllahYakin bahawa setiap ketentuan-Nya adalah yang terbaik. Ambil Pengajaran Dari UjianTanya diri, apakah yang Allah ingin ajarkan melalui ujian ini. Kesimpulan Sesungguhnya dunia ini adalah tempat ujian, bukan tempat balasan. Setiap kesakitan, kesedihan dan kesusahan yang kita lalui tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Setiap ujian ada hikmahnya, dan setiap kesabaran pasti ada ganjarannya. Maka janganlah kita berputus asa ketika diuji. Teruskan melangkah dengan doa, sabar dan tawakal. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang sabar, redha dan mendapat rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.